Pages

Sunday, December 23, 2012

Kraftanganku II

Ini pula assesori atas kepala.  Masa-masa lapang atau tak lapang, asal ada mood nak berkraf, buatlah kraf yang simple2, nilah diantara yang terhasil setakat ini, esok lusa ada lagi kot dengan fesyen dan mood berbeza.  Cekak rambut belum ada bahan, sok nak belilah cekak yang kosong, bolehlah tenggek beberapa kuntum bunga-bunggaan tu.  Nanti kita try ye. 
Terima kasih kepada blog2 penyumbang dan pencetus idea. Perancangan tahun depan dah bermula projek try and error, perubaan konon, nak makan pun dah lewat-lewat ni...asyik main riben je aaaaaa...


Ikat rambut ni ciptaan  sendiri dah ada 3 warna pilihan



untuk pencinta merah jambu
klip rambut dengan ros merah dan oren

Wednesday, October 31, 2012

Jum Ke Sg. Inki Kalumpang



Airnya sejuk mengalir di celah celah batu.  Lokasinya di pinggir banjaran Titiwangsa.  Melalui jalan kampung bernama Kg. Pasir Putih Kalumpang, Daerah Hulu Selangor, bersempadan Tg. Malim Perak.  Era tahun enam puluhan di situlah datuk dan nenekku pernah bercucuk tanam, sayuran-sayuran kampung, Kini sungai Inki telah menuju era kemajuan, dibaikpulih menjadi tempat perkelahan, telah menarik perhatian pengunjung dari luar daerah..  Kemudian terbinanya Kalumpang Recreation & Training Resort (KRTC) oleh seorang pemaju.  KRTC ini telah diketahui ramai, menjadi tempat membawa keluarga bercuti dan bermandi manda.  Resort ini juga dilengkapi dengan tempat berkursus dan Hari Keluarga.  Para pengunjung boleh menyewa resort untuk bemalam.  Sekiranya tidak bermalam tempat perkelahan percuma  menjadi pilihan, dilengkapi tempat persalinan, bilik air dan juga wakaf untuk berehat dan makan.  Di hujung minggu terdapat juga peniaga yang menjual makanan dan minuman ringan.  Selalunya pada musim cuti sekolah terdapat rombongan murid-murid  sekolah membuat perkhemahan, juga pelajar dari kolej berkursus dan berkhemah.  Jabatan-jabatan kerajaan dan Swasta juga sering mengadakan kursus di Kalumpang Resort.  Beberapa tempat sepanjang sungai ini  menjadi pilihan untuk berkelah iaitu di atas sekali ada wakaf bilik air, bilik persalinan yang disediakan oleh Majlis Tempatan. Ke bawah selepasnya ialah Resort KRTC, ke bawah sedikit adalah dinama Jambatan Roboh, tempat yang sering dikunjung oleh warga kampung Pasir Putih, kemudian Lubuk tempayan dan yang akhir pula ialah Sungai Kala, di mana terdapat dua cabang sungai yang bertemu.

Di bawah ini gambar anak-anakku sedang bermandi manda tidak ingat bila nak pulang ke rumah.  Di antaranya leka mencari anak anak ikan, seperti perangaiku diwaktu kecil dulu.


tengok2 ada mak ikan..
adake anak ikan tu

tak ingat nak makan ke..


oi dahlah tu, naik naik.
Gambar yang tertera adalah merupakan musim cuti sekolah.  Sepupu sepapat balik kampung dan bermandi manda di Sg Inki.

Sesuatu yang ingin aku pastikan ialat terdapat kesan jambatan roboh di Sg Inki.  Benarkah jambatan itu kesan sejarah.  Sudah lama aku tak menjejakkan kaki ke tempat perkelahan Sg, Inki.  Bila ada kelapangan nanti aku akan menjejakinya dan memastikan cerita sebenar di sebalik jambatan roboh yang dikatakan kesan pengeboman di zaman Jepun. Ha ... mulalah nak menkaji sejarah Sg. Inki .  Tunggu ya ... kebenaran sejarahnya akan aku selidek.  Nak tanya pada orang orang lama yang tahu sejarah Jambatan Roboh Sg. Inki. 


Monday, August 27, 2012

Laman ini biar sepi

Kemanakah hilangnya seri laman ini, tiada seri  lagikah untuk menulis.  Sedangkan memang ada ingin aku kongsikan bersama, tapi kenapa hati perasaan, minda dan jiwa bagai tiada lagi mood mood untuk menulis.  Kemanakah perginya mood mood untuk melakar coretan.  Semenjak dua menjak ni  segalanya hilang tanpa sempadan.  Laman roskraf kali ini ku biar sepi buat sementara, entah bila akan bercanda bersama bunga di hujung jari.  

































Thursday, August 2, 2012

Mercun Punya Cerita - Masih tak serik

Kenapa tak jeran lagi, dah banyak peristiwa kemalangan kerana main mercun tapi tak serik juga, nak main juga.  Mana dapat mercun tu, buat sendiri ke, beli kat pasar gelap ke.  Setiap tahun ada saja kecederaan akibat main mercun.  Kerajaan dan ibu bapa dah selalu sangat menyedarkan anak-anak.  Kenapa ye, kenapa masih nak mengambil risiko.  Sebab seronok tapi tidak memikirkan keselamatan.  Yang sedih tu kekadang terkena orang lain yang tidak bermain mercun.  Wahai anak-anak, adik-adik, abang-abang, jangan lah bersukaria dengan mercun, bimbang kalau bukan diri sendiri yang terkena mungkin orang lain yang jadi mangsa.



.





Kalau sekadar main mercun pop pop oklah juga, ni sampai buat meriam sendiri mengalahkan meriam kapal Jepun dulu-dulu

Ini dia mercun pop pop tu


Rasa nak demam raya pula bila cerita bab mercun ni, belum lagi cerita bab kuih n baju baru. Ok Selamat menjalani ibadah puasa.











Monday, July 30, 2012

SEGMEN : Tambah Follower Blog Sampai 1000+


follower saya = 16
tarikh tutup : 31 Ogos 2012
saya tag sume iyee.. jom join ramai2 =)

Teringin juga nak memeriahkan blog ni, ha mai lah ramai2 follow and klikklik.   Semoga di bulan Ramadhan ni bertambah berkat dengan amalan tolong menolong sesama kekawan dapatlah berkongsi maklumat dan ilmu.   Terima kasih semua yang singgah.

Dari pengalaman saya menjalani ibadah berpuasa, sekiranya kita minum ais waktu berbuka maka esok hari kita akan merasa kehausan, tekak terasa kering.  Amalkanlah minum air suam, oren , susu, barley atau apa saya kesukaan tapi jangan dengan ais.  

Sunday, May 13, 2012

Jum tengok make up pouch - handmade dariku




Makeup pouch/ buatan tanganku

Seperti yang telah saya janjikan, kali ini saya  papar kan makeup pouch,  rupa bentuk sama dengan pencil pouch,  saiz  panjang sama,  cuma ukuran  tinggi  lebih sedikit.  Saya  ciptakan  simple dan  saya tampilkan menawan.  Kualiti  handmade  terjamin  kerana  saya sendiri  membuatnya.  Untuk  anda  yang   berminat  membuat  sendiri saya syorkan layari internet mengenai cara membuat pencil pouch, kerana saya pun belajar dari sana dan ubahsuai ikut kreativiti sendiri. Sekarang ni saya membuat atas  permintaan  setelah  mereka  melihat sendiri hasil buatan tangan saya serta hiasan ros dari riben yang saya buat sendiri. Kali ini saya siapkan dari dua jenis kain bercorak.  Ada 4 buah makeup pouch dengan hiasan berbeza,


Pandangan dari hadapan


Pandangan dari sisi

Tema oren

Tema ungu

Tema oren dari kain yang sama cuma corak menegak

Pandangan dari sisi

Wednesday, May 9, 2012

Tiada Siapa Memaksa Pakai Tudung

Tiada siapapun yang memaksa kita memakai tudung kepala tetapi setelah anda bertudung pakaian juga mestilah sopan dan menutup aurat. Bukanlah saya ni seorang ustazah untuk memberi komen mengenai cara wanita wanita memakai tudung.  Cuma yang kurang saya senangi ialah, banyak yang saya termui remaja atau wanita  memakai tudung tidak kena caranya.  Bertudung bertujuan menutup aurat.  Rambut adalah aurat yang wajib ditutup.  Apalah maknanya menutup rambut sedangkan aurat yang lain terbuka.  Contohnya, di kepala memakai tudung, tak nampak sehelai rambut, sedangkan baju yang dipakai berlengan pendek, kadangkala memakai seluar jean yang ketat menampakkan bentuk tubuh, baju pula jenis t-shirt yang ketat.  Buang masa dan buat letih saja lilit tudung,  siap pakai brooch lagi. Wahai remaja dan wanita kalau bertudung tu ikutlah cara muslimah sejati. Aurat tetap aurat yang wajib ditutup.  Tampilkan imej wanita Islam yang menutup aurat selengkapnya.  Kalau sekadar befesyen, pakai saja tudung jenis skaf, nampak rambut pun tak apa.  Jangan rosakkan konsep dan tujuan bertudung.  Wahai ibu bapa  perbetulkan cara bertudung anak anak perempuan kita,  peringatkanlah mereka.  Bukan semestinya memakai busana mulimah yang mahal-mahal, cukup sekadar baju kurung, kalau memakai  seluar jean tidaklah ketat seperti sarung nangka, baju pula biarlah labuh dan berlengan panjang  Memakai tudung atau selendang biarlah  menutup bahagian dada.

Corak penuh tidak menampakkan bentuk tubuh
Di antara fesyen blaus yang sopan

Wednesday, May 2, 2012

Mak Aku Yang Buat

Laman Roskraf kali ini memaparkan hasil kraftanganku. Beg yang comel untuk alat tulis atau apa-apa saja kegunaan.  Seperti gambar yang dipaparkan, ciptaan saya tiada yang serupa, walau warna fabrik sama tapi warna assesori pula berlainan.  Hobi yang amat saya gemari sejak beberapa minggu ini, begitu asyik mengadap mesin jahit, maka terhasillah beberapa koleksi yang saya buat sendiri.  Hasil yang pertama tu anak bawa ke sekolah sebagai 'pencil pouch', begitu bangga dia cerita, "mak aku yang buat "  Apalagi kawan-kawan mulalah  nak beli.  Ok ok, saya pun buat beberapa buah untuk kawan sekolah tu. Handmade punya.  Kalau nak bisnes nanti kenalah cari jenama pula, ewah.. "made by" whome.  Angan-anganlah dulu, memenuhi hobi.


Hiasan bunga ros dari riben 

Beg kecil dah siap dengan hiasan
Pandangan dari sisi
Dari sisi dan ruang dalam
Ukuran lebih kurang - Pjg  20cm, tinggi 10cm:, lebar  tapak 5cm

Selepas ini saya akan membuat make-up pouch pula. Saiznya lebih besar sedikit, hiasan pula lebih mewah dengan bunga ros dari riben.  Untuk anda yang berminat seni jahitan dan kraftangan ini bolehlah mencuba hobi yang menarik ini. Selain kegunaan sendiri dan anak-anak, boleh juga dihadiahkan sempena Hari Guru yang bakal menjelang ini.   ok ok ok.. .  jumpa lagi dengan entry makeup pouch.





Thursday, April 26, 2012

Bio Ever - Saya Telah Mencubanya

Botol besar rm220.00 / botol kecil rm50.00
Kerana saya telah mencuba dan merasai keberkesanannya, maka dengan yakin saya menulis di sini.  Seperti yang selalu kita lihat iklan di TV krim kecantikan berteknoloji nano.  Begitu juga krim Bio-ever ini. tetapi bukan saja untuk kecantikan tetapi juga untuk kesihatan dalaman.  Dengan hanya menyapu pada punca tertentu (7 tempat punca nadi) di tubuh badan, waktu pagi dan malam.  Setelah seminggu menggunakan, penyakit utama saya iaitu sakit di lulut telah berkurangan, sebelum ini setiap hari saya menaiki tangga untuk ke pejabat saya di tingkat atas, tangan saya mesti berpegang pada sisi pemegang tangga, kini saya boleh naik tanpa memegang pada sisi pemegang tangga. Teman teman pula melihat perbezaan kulit wajah semakin halus dan cerah.  Setiap orang mungkin berbeza dengan tindakbalas rawatan ini, mungkin ada yang  merasai kesan dalam waktu singkat, mungkin ada juga dalam sebulan, seminggu  dan ada juga dalam sehari.  Untuk rawatan kontur wajah kesannya dapat dilihat dalam masa sepuluh minit setelah menyapu krim ini. Menggunakan krim ini juga disertai dengan doa yang akan diberitahu bila anda membeli krim ini dan juga cara pemakaiannya. Kadang kala kita merasakan agak mahal, takut untuk mencuba dan rasa rugi untuk membeli. Sekiranya harga murah kita tidak teragak untuk membeli, setelah ubat tidak memberi kesan mungkin kurang terasa rugi sebab harganya murah tetapi kenyataanya kita tidak bijak bak kata pepatah " alah membeli, menang memakai ".  Biar kita membeli dengan harga yang kita rasa sedikit mahal tapi manfaatnya amat berguna dan berkesan pada kesihatan yang berpanjangan. Sedangkan kita sanggup ke klinik swasta dengan membayar kos ubat yang juga mahal. Bukan sekali, kekadang berulang kali ke klinik, di rumah pula siap sapu minyak angin, minyak panas pada kaki dan lutut, adalah lega tapi sementara je. Ubatan yang dimakan akan ada kesan sampingan, menjejaskan buah pinggang dan bermacam lagi.  Sedangkan krim ini hanya untuk disapu pada luar tubuh, tiada kesan sampingan. Krim berteknologi nano ini bertindak dan meresap jauh mengikut sarap nadi. Jika anda telah mencuba dan mengalami kesan yang menggalakkan, anda tidak akan menyesal dan ingin membeli botol yang besar . Krim ini bertindak ke dalam saraf yang mana akan melancarkan perjalanan darah.  Dari testimonial orang yang telah menggunakan lebih awal dari saya, krim ini dapat mencetuskan rawatan dalaman, iaitu penyakit resdung, stroke, darah tinggi, kencing manis, kanser. Dari  testimonial orang yang berjerawat pula, dalam seminggu jerawatnya berkurangan dan seterusnya wajah bersih dan licin.  Anda boleh membaca pengalaman orang-orang yang telah menggunakan krim bio-ever ini   dengan melayari carian "Bio-Ever' di internet. Setelah menggunakan krim ini secara teratur (pagi dan malam) perjalanan darah akan lancar yang mana toksid dalam tubuh dapat disingkirkan melalui pembuangan air besar/kecil dan perpeluhan.

Bio-ever menggunakan sistem bio-teknologi untuk menghantar kebaikan rumusan aktif bersaiz nano secara terus ke dalam darah melalui penggunaan luaran pada kulit.  Rumusan aktif Bio-Ever seperti pegaga, Kacang Soya dan Resveratrol dirumus ke dalam liposom (sfera lipid yang kecil dan kosong) dan dihantar ke bahagian badan yang mana ia diperlukan.  Saiz liposom yang kecil boleh menghantar dan membebaskan rumusan aktif yang diperlukan dengan tepat ke dalam badan.
Pegaga (Centella Asiatica


  1. Kaya dengan vitamin A & C
  2. Menggalakkan penyembuhan luka
  3. Meransang sintesis kolagen


Daun kaduk/Wild Yam

  1. Komponen aktif diosgenis boleh ditukar kepada phytohormon yang mirip dengan aktiviti hormon progesteron.
  2. Antioksidan dan menegangkan otot.




Kacang soya   
  1. Membantu masalah endoktrin
  2. Membantu sintesis kolagen, memutih dan melembabkan kulit.





Untuk anda yang ingin mencuba bolehlah hubungi saya di No. 013-2549702.  Botol besar berharga RM220.00 dan botol kecil (pek percubaan) berharga RM50.00.  Produk dijamin halal, gunakan tanpa was-was, yakin setiap usaha pengubatan diiringi doa dan tawakal kepada Allah SWT.





Sunday, April 15, 2012

Pahit Manis Danau Toba

Ingin saya ceritakan pengalaman yang baru saya lalui mengenai percutian saya dan keluarga ke Danau Toba, Medan.  Pengalaman ini mungkin telahpun dirasai oleh mereka yang pernah menjejaki kaki ke Pulau Samosir, Danau Toba. Di pulau itulah kami menginap untuk satu malam.  Perkara yang sangat tidak saya senangi ialah sikap para peniaga di pulau tersebut yang keterlaluan merayu dan seakan memaksa para pelawat untuk membeli jualan mereka.  Memang banyak cenderamata dan hasil kraftangan mereka sendiri yang menarik perhatian saya. Rasanya banyak yang ingin saya beli tapi sayangnya sikap mereka membuat saya tidak jadi untuk membeli kerana seolah-olah saya tidak berhak untuk memilih.  Kalau tidak jadi membeli mereka akan merayu dan merayu hingga saya rasa rimas dan pening.  Selepas satu gerai itu saya tidak tertarik untuk singgah lagi dan mahu terus keluar dari kawasan gerai-gerai jualan cenderahati mereka.  Sehingga akhirnya saya disapa oleh salah seorang peniaga perempuan yang agak muda dan mempelawa saya melihat barang-barang jualannya, sapaannya begini "Ibu, ibu mari lihat barang saya, tak beli pun tak apa, kita tak marah" . Mendengar kata-kata itu saya kasihan mungkin dia faham rata-rata sikap peniaga di situ tidak disenangi oleh para pelawat.  Lalu saya dan adik beradik singgah di situ agak lama dan membeli jualannya agak banyak juga kerana mungkin kami tidak akan singgah di gerai yang lain, sehingga seorang peniaga di sebelahnya datang memanggil kami minta datang separuh ke kedainya, tetapi apakah dia tahu kenapa kami singgah dan kenapa kami tidak singgah.  Setelah keluar dari kedai tersebut  seterusnya di kedai yang lain saya ingin juga membeli beberapa helai t-shirt untuk anak-anak saudara tapi saya batalkan saja niat tersebut kerana rimas dengan sikap mereka.  Sudahlah saya pening untuk mengira dalam rupiah, pening pula dengan sikap mereka.  Wahai peniaga di Pulau Samosir ubahlah sikap kalian agak tidak membuat para pembeli rimas lalu tidak jadi membeli. Saya sendiri telah membeli tanpa rela sebab barang yang dibeli bukan pilihan hati yang sebenar sebab dah tak  ada size pilih pula barang yang lain.  

Monday, April 2, 2012

Nostalgia sebuah sajak

Semasa penghujung tahun 2011, saya mengemas dan ingin membuang beberapa hand beg lama yang tidak boleh digunakan..  Di dalam salah sebuah beg tersebut terjumpalah keratan sajak yang memang saya simpan, mungkin waktu itu bait bait sajak itu begitu bermakna bagi diri saya.  Sajak tersebut ditulis oleh seorang penyair dengan nama pena HR.KT bertarikh Oktober 1994.  Mungkin sajak itu membawa makna untuk sesiapa pun dengan tafsiran sendiri.
Di bawah ini saya tuliskan semula  sajak tersebut,  Untuk peminat-peminat sajak bolehlah menghayatinya.

BINGKISAN EMBUN


Kesementaraan yang dipilih itu
telah berserakan
bak mutiara
di daun daun


Ketika rindu tak tergapai
dan cinta tak tercapai
kau pun memilih sepi
yang berputik
bagai mimpi
di luar janji


Kesegalaan yang diraih itu
telah berguguran
bak kaca-kaca
ditimbang cahaya


Ketika hasrat tak terisi
dan kau hanya mampu mengiringi
malam yang bakal masuk
ke dalam kelam
siang yang bakal keluar
mencari sinar.


HR.KT - Oktober 1994.



Friday, March 30, 2012

Terjah Jangan Tak Terjah

Terjah apa tu.  Dulu masa mula berblog pakai aja template yang simple2 mudah gitu.  Takut nak cuba-cuba nanti kusut masai, almaklumkan aku ni bukan ada basic IT.  Sekadar basic menaip boleh tahan.  Dah lebih setahun ini baru ada masa dan ada keberanian nak terjah. Teringin nak menukar wajah teratak beberapa blog aku yang muramje tu.  Ha, awal 2012 ini nampaklah kelainan sikit.  Segarlah mata memandang, bukan pandaipun macam bloger-bloger, mostly bebudak student yang mostly ada basic IT.  Aku ni hah, kamu semua tahu tak aku ni kira makcik kamu kamu semua, ha kamu, cayalah.

Terjah punya terjah, berkali-kali tukar template. hilang pula ad nuf tu. buatlah lagi , jenuh juga bertungkus lumus. korang boleh gelaklah tengok acik ni.  Bila tengok blog anak-anak buah semuanya cantik cantik mulus dan kreatif.  Angan-angan aku nak buat yang cantik, tapi tunggulah nanti aku ada masa yang sesuai, masa lapang yang tenang dan berkobar.  Setakat itu aje yang aku boleh buat.  Adake pelawat yang sudi menyinggah, kalau ada terima kasih banyak kerana sudi singgah dan menjenguk, senyumlah sikit, hahah macamtu la...

Lepas tu tak pandai pula nak copy and paste gambar,  sekarang dah pandai dah., sebab berani mencubalah,  blog cerita dongeng aku dah ada gambar pelengkap cerita , tengoklah blog "DONGENG DARI IBUKU".  Tiap siri dongeng ada gambar hiasannya. Dulu tu cuma pandai upload je gambar gambar, rupanya ada juga yang senang lagi. hu hu.. 

Walau apapun, ilmu sentiasa dicari, ia tetap bermanfaat kepada diri dan kepada semua.  Bak tajuk sebuah buka motivasi yang pernah aku baca " BERANI UNTUK GAGAL".  Kita mestilah berani mencuba walaupun kita tidak tahu apa ada di sebaliknya, kegagalan atau kejayaan.  Janji kita telah berusaha, jika gagal juga bukan kita gagal tapi kita orang yang berani. Cuma belum cukup cukup usaha tu, boleh kan, setujukan.

Ok, setakat ini pelbagai ceritaku, jumpa lagi, insyaallah.

Monday, March 19, 2012

Petola Bantal - Selain Buat Sayur - Versi Ke 2

Penghujung tahun 2011 seorang student UPSI respond pada post saya yang bertajuk "Petola Bantal Selain Buat Sayur".  At last dia datang cari rumah saya sebab nak dapatkan buah petola bantal yang mana seratnya boleh digunakan sebagai span menggosok pinggan dan badan. Dia sempat mengambil gambar pokok dan beberapa biji buah yang telah kering.  Tujuannya  untuk dijadikan bahan asignment tahun akhir.  Masa tu pokok petola di belakang rumah saya telah dibersihkan kerana terlalu rimbun hingga memanjat pokok kelapa jiran.  Yang tinggal hanya beberapa biji buah pada pokok yang memanjat di pagar.  Saya berikan serat petola yang telah saya bersihkan  padanya, dia juga mengambil beberapa biji yang muda.
Pada mulanya dia ingin membeli jumlah yang banyak tapi tak ada stok sebab hanya untuk kegunaan sendiri,  Mungkin suatu hari kelak saya nak usahakan ladang petola bantal khusus untuk produk span semulajadi.
Tahun 2012 saya dah menanam semula pokok petola bantal dan telah pun berbuah. Nak tanam banyak-banyak tak cukup kawasan hanya di tepi pagar sahaja.  Buah yang bergayutan menjadi teguran orang yang lalu lalang kenapa tidak diambil sebab dah tua.   Saya menerangkan bukan untuk buat  sayur tapi buat span . Mereka hairan macam tak percaya pula.. Sepupu serta adik beradik saya semua dah tahu kegunaan petola bantal yang saya tanam tu.  Mereka pun menggunakan span dari tumbuhan ini.  Kalau teringin nak buat sayur bolehlah ambil buah yang masih muda yang tidak bersabut.  Dah lebih 10 tahun saya tidak lagi membeli span di kedai sebab dah ada pokok yang memberikan produk semulajadi.  Wahai kawan-kawan semua marilah kita tanam pokok yang dapat kita manfaatkan buahnya selain untuk dimakan, dibuat span juga menghijaukan kawasan rumah.  Pokoknya mudah tumbuh dan cepat berbuah.  Untuk menghasilkan span dari serat petola, ambil buah yang telah masak, biarkan ia kering untuk memudahkan membuang kulitnya, keluarkan bijinya dan terhasillah serat yang boleh digunakan sebagai span membasuh pinggan mangkuk dan boleh juga menggosok tubuh badan.
Setelah kulit kering dibersihkan, inilah hasilnya.

Ini yang masih muda boleh buat sayur