Pages

Monday, January 3, 2011

Cerita dongeng - Ubi Keledek Batu -

Pada zaman dahulu di sebuah kampung yang rata-rata penduduknya hidup sederhana.  Ada seorang anak yatim piatu tinggal bersama nenek dan datuknya.  Oleh kerana kedua nenek dan datuknya tidak berupaya untuk berkerja kuat buat mencari nafkah, maka mereka mengharapkan pemberian daripada orang kampung untuk sesuap nasi atau apa-apa makanan yang diberi mereka terima dengan senang.
Suatu hari cucunya yang bernama Ikhlas sedang bermandi manda di tepi sungai dengan rakan-rakannya.  Seorang ibu tua menghulurkan beberapa biji ubi keledek untuk dibawa pulang.  Ikhlas berbesar hati menerima pemberian itu dan mengucapkan berbanyak terima kasih kerana itulah rezeki buat mereka untuk hari itu.  Ikhlas membawa balik ubi keledek dan memberikan kepada neneknya.
Sewaktu neneknya merebus ibu keledek itu, Ikhlas disuruh pergi bermain di luar rumah bersama rakan-rakannya, nenek berjanji akan memanggilnya pulang setelah ubi keledek tersebut masak.  Berapa jam Ikhlas menunggu tiada panggilan  dari neneknya maka dari bawah dia melaung. " Nenek .. dah masakkah ubi keledek?  Sinenek ketika itu sedang makan ubi keledek, dengan mulut yang penuh menjawab "Belum-belum tanyalah atuk".
Datuknya menjawap "Belum-belum pergilah bermain lagi".  Ikhlas sebenarnya telah berasa amat lapar pergi semula bermain dengan rakannya.  Ketika itu nenek dan datuknya sedang makan ubi keledek tersebut hingga tidak sedar semuanya habis dimakan.  Apabila mereka sedar, mereka mencari akal bagaimana sekiranya Ikhlas bertanya ubi keledek tersebut.  Datuknya mencari batu batu yang sebesar ubi keledek lalu membalut batu tersebut dengan kulit ubi keledek yang masih tinggal tadi dan diletakkan di dalam piring.  Apabila Ikhlas pulang lalu mengambil ubi keledek tersebut dengan perut yang terlalu lapar, ubi keledek lalu digigit, "aduh giginya patah dan berdarah, Ikhlas mendapati kesemua ubi keledek itu adalah batu yang dibalut dengan kulit ubi tersebut.   Ikhlas tersedu-sedu tanpa disedari datuk dan neneknya Ikhlas turun melalui pintu dapur dan duduk ditangga sambil berkata dalam hati datuk dan nenek telah membencinya, lalu Ikhlas merajuk turun sambil berfikir kemana akan dibawa diri, ibu dan ayah telah tiada.  Ikhlas terpandang seketul batu di belakang rumah itu, perlahan dia duduk di atas batu itu sambil merayu hiba.  Hai batu naik lah engkau ke langit tinggi, seinci dua inci, sekaki dua kaki, aku ingin bertemu ayah dan ibu, datuk dan nenek telah membenci aku.  Ikhlas mengulangi lagi hai batu naiklah engkau ke langit tinggi seinci dua inci, sekaki dua kaki.  Tiba-tiba batu itu naik tinggi dan tinggi sehingga suaranya hanya sayup kedengaran.  Nenek dan datuknya mencari di mana suara yang merayu-rayu itu. Di dapor kedua nenek dan datuknya hanya menemui piring ubi keledek batu yang belumuran darah kerana giginya yang patah.  Mereka melihat ke luar tingkap, alangkah terkejutnya apabila melihat cucunya berada di atas batu yang menjulang tinggi, barulah neneknya menyesal dan menangis minta cucunya turun dan memaafkah mereka.  Ikhlas tidak lagi mendengar panggilan neneknya kerana dia sudah tinggi hingga ke pintu langit di mana ayah dan ibunya melambai ke arahnya. Ikhlas hilang dari mata dan batu itu kembali seperti sediakala.  Nenek dan datuknya duduk di atas batu itu dan meminta batu itu naik ke atas tapi batu tersebut tetap tidak berubah.
Nenek dan datuk pulang ke rumah setiap hari menyesali perbuatan mereka dan menangisi cucu yang hilang. Datuknya duduk dipintu hadapan mengharapkan Ikhlas kembali, begitu pula neneknya duduk di pintu dapor mengarapkan Ikhlas kembali, sehari , sebulan dan setahun Ikhlas tidak kembali lagi, nenek dan datuk tidak lalu makan dan minum lalu meninggal dunia.
Tauladannya - Jangan aniaya anak yatim piatu, doa orang teraniaya selalu dimakbulkan . Diceritakan oleh ibu saya waktu hendak tidur malam masa zaman kanak-kanak.  Kira bed time story la tu.