Pages

Thursday, April 7, 2011

Kanser payudara dan mawar tanganku.

Catatan ini merupakan memori yang  aku paparkan untuk kukongsikan kepada pembacaku dan kepada yang berkaitan dengan ceritaku.  Sekadar berkongsi perasaan yang sama kepada mereka yang telah melalui apa yang aku alami.
Tanggal Jun 2006, Hospital Selayang. pertama kali mendengar kenyataan doktor aku disahkan mengidap kanser payudara.  Igauan dan mimpi ngeri yang menakutkan setiap kaum hawa kini menimpa diriku.  Menangis dan menangis tidak akan mengubah apa-apa.  Aku terima takdir ujian dari Allah dengan tabah. hidup perlu diteruskan walau apapun terjadi.  Doktor yang merawat ku begitu memahami dan memberi semangat kerana masih banyak rawatan yang akan aku jalani.  Bukan aku seorang yang mengalaminya banyak lagi pesakit lain yang masih berjuang melawan penyakit ini malahan ada yang datang setelah penyakit melarat dan tidak boleh diselamatkan.  Dari pengalaman temujanji dan perbualanku dengan doktor, kebanyakan pesakit yang lewat mendapat rawatan disebabkan mereka malu dan memilih  perubatan kampung atau dukun. Bagi diriku seawal mungkin aku mendapati kelainan pada payudara tanpa lengah aku menemui beberapa doktor sehinggalah aku dirujuk kepada Klinik Pakar Hospital Selayang.  Di sini doktor pakar yang terawal aku temui adalah doktor lelaki, mereka semua bersikap profesional dan begitu menghormati dan memahami diriku yang dalam keadaan tertekan.  Wahai kaum hawa kenapakah kita malu mendapatkan rawatan, jangan biarkan penyakitmu tanpa diketahui menjadi pembunuh senyap sedangkan kita mampu mendapatkan rawatan sebelum terlambat.
Untuk temujanji yang berikutnya aku mendapat seorang doktor wanita yang seterusnya beliau juga yang melakukan pembedahan terhadapku.  Beliau adalah Doktor Pakar/Pembedahan dan mengesyorkan rawatan yang terbaik untukku.  Doktor Pakar tersebut kini tiada lagi di Hospital Selayang, beliau telah bertukar ke hospital lain.  Jasa baik beliau tetap ku kenang hingga ke akhir hayat. Doktor yang aku maksudkan ialah Doktor Azlina Firzah.  Hingga kini aku masih lagi meneruskan rawatan susulan di Hospital Selayang tetapi bertemu doktor yang lain.  Semua mereka aku sayangi. Kita boleh mendapatkan rawatan cara kampung tapi dapatkan rawatan hospital dahulu.
Selepas menjalani pembedahan aku berada di wad selama 10 hari.  Waktu itu tiada rawatan kemoterapi di Hospital Selayang, aku diminta untuk menjalani rawatan tersebut di Hospital KL.  Kelebihannya kerana aku kakitangan kerajaan, aku diberi cuti bergaji selama dua tahun namun selepas habis rawatan dalam tempoh enam atau tujuh bulan aku telah mampu memandu untuk bertugas semula.    Segala rawatan dan caj perubatan ditanggung oleh kerajaan, Alhamdulillah.  Aku rindukan teman-teman di pejabat yang sentiasa mendoakan aku, sewaktu nota ini aku paparkan di sini, banyak insan yang memberi semangat kepadaku telah kembali ke rahmatullah.  Salah seorang ialah Ketua Jabatanku yang telah kembali ke rahmatullah pada Sept. 2007, semoga rohnya dicucuri rahmat dan tempatkan dikalangan para solihin, kepada teman-teman yang menziarahiku di hospital dan di rumah tetapku kenang selamanya.                                                                                                              
Di HKL aku menjalani rawatan kemoterafi sebanyak 6 pusingan, iaitu tiga minggu sekali. Kemoterafi bermakna 'rawatan kimia' , oh tentu pelik mendengarnya.  Ya kimia yang membunuh sel kanser sekiranya masih terdapat dalam tubuhku.  Sesiapa yang telah melaluinya tentu tahu betapa peritnya kesan yang dialami.  Kepada pesakit kanser yang belum melaluinya, jangan bimbang, rawatan ini tetap berlaku dan berlalu.  Kuatkan semangat dan sentasa positif.  Waktu begini kita perlu insan sekeliling untuk memberi kekuatan, agar kita tabah.  Kesan kemo ini membuat tubuh lemah, tidak berdaya kerana mual, muntah tak kira pagi petang atau malam.  Memang tidak selera untuk menjamah makanan, kalau dipaksa juga, makanan tersebut akan keluar balik.  Namun pandai-pandailah memilih makanan yang kita mampu menelannya.  Sekiranya tubuh terlalu lemah dan darah kekurangan, doktor tidak akan meneruskan kemo ini menyebabkan ditunda ke tarikh lain.  Daripada naskhah yang dibekalkan oleh pihak hospital. aku mencari makanan yang sesuai, berkhasiat dan mampu ku telan iaitu bubur keledek merah dan bubur nasi (bubur mui) yang ada kuah sup, ikan  bilis goreng, kacang goreng dan lobak asin.  Kebetulan memang ada gerai di tempatku yang menjual bubur nasi setiap hari.   Kalau ada orang lain nak cuba, silakan.  Sedap....itu saja yang mampu ku suapkan.  Selepas 10 hari barulah seleraku normal, aku makanlah sebanyak mungkin sebab 10 hari lagi kemo yang kedua dan seterusnya begitulah selama enam pusingan untuk lebih kurang 4/5 bulan baru selesai.  Rambut pun habis gugur, sedihnya bila tengok cermin, kalau ada orang datang rumah cepat-cepat ambil cekup tutup kepala, sedangkan kepala memang panas. sabarjelah... 
Sebenarnya setiap orang yang menerima rawatan kemoterafi menghadapi kesan yang berbeza, ada yang teruk sehingga tidak lalu makan, badan kering, seluruh mulut pecah, ada yang mengalami alahan yang sedikit.  Selama lapan bulan aku bercuti menjalani rawatan dengan tubuh tak berdaya, ada juga hari yang aku rasa sihat dan bersemangat, waktu terluang aku penuhi dengan hobi mencipta bunga telur.  Maka lahirlah bunga telur ciptaan ku, ros buatan tangan dari riben organza dan satin.  Sejak itu akulah yang membuat bunga telur untuk anak-anak saudaraku, juga memenuh permintaan teman-teman rapat.
Setelah empat tahun berlalu, berulang alik HKL dan Hospital Selayang, kadang ke Hospital Sg. Buluh. segala rawatan aku ikuti disamping rawatan cara kampung.  Terima kasih kepada semua yang membantu.  Kini rawatan susulan ku enam bulan sekali ke HKL dan Selayang.  Aku berdoa agar penyakitku sembuh sepenuhnya, agar dapat memberi perhatian terhadap anakku yang hanya seorang.
Di sebalik semua ini, aku amat berterima kasih kepada seluruh keluargaku atas segala perhatian dan bantuan.  Kepada abang kandungku yang telah kembali ke  rahmatullah Januari 2010, kepada adikku yang kembali ke rahmatullah pada Oktober 2007, semoga roh kalian dicucuri rahmat.  Kepada kakak dan kakak ipar juga adik adikku yang menjaga sepanjang rawatan ku di hospital dan di rumah, budi baik kalian tetap ku kenang selamanya.  Terima kasih kepada jiran dan sahabat yang membantu menghantar anakku ke sekolah. Terima kasih juga kepada pemandu jabatan yang sering aku tumpangi untuk ke hospital . Aku doakan kebahgiaan untuk kalian, semoga sihat sejahtera, amin.  Kepada teman teman yang mengesyaki sesuatu kelainan pada tubuh anda dapatkan rawatan sebelum terlambat.
Apapun yang terjadi, aku pasrah atas ketentuan Illahi, kita mampu berusaha dan berdoa.  Allah maha mengetahui kenapa kita diuji dan diduga dengan berbagai cara.  Hari ini aku bersyukur dengan apa yang telah aku lalui, aku bersyukur di atas segala-galanya.   Amin..                                                                                                                        

No comments: